Friday 6 September 2013

Penyakit Betik ( Papaya Ringspot Virus, Papaya Dieback & Antrakno)

Tanaman betik (Carica papaya ) merupakan sejenis tanaman dari keluarga Caricaceae yang popular di Malaysia dimana seluas 3,512 hektar ditanam pada tahun 2011 dengan pengeluaran hasil sebanyak 52,427 metrik tan. Penanaman betik di negara kita dijalankan secara komersil dan juga tanaman keliling rumah dan didapati menghasilkan buah yang berkualiti. Betik yang saya ketahui mempunyai lebih dari 40 spesis diseluruh dunia yang mana kini telah dimajukan dengan meluas di India, Mexico, Filipina, Hawai dan juga Australia. Buah betik bukan sahaja mendapat permintaan baik dari pengguna tempatan, malah mempunyai potensi untuk dieksport ke luar negara seperti China, Jepun, Eropah dan Amerika.

Kini, tanaman betik dan industri betik negara diancam pelbagai penyakit antaranya seperti dibawah.
A) Penyakit Virus Bintik Cecincin Pada Betik
Penyakit Virus Bintik Cecincin (Papaya Ringspot Virus - PRSV) merupakan sejenis penyakit yang serious menyerang betik di Malaysia semanjak 1991 dan menyebabkan pengeluaran betik sangat terjejas. Penyakit ini bermula pada daun muda yang diserang bertukar warna kekuningan diantara urat daun (simptom serangan mozek). Daun akan kelihatan telus cahaya dan kadangkala akan kelihatan simptom lecuh seperti yang terserap air berwarna hijau pekat antara urat daun. Helaian daun akan mengecil dan berkerekot dimana terdapat jaluran hijau gelap memanjang yang kelihatan berminyak pada pangkal daun. Daun akan menebal dan menjadi kasar. Pada buah pula terdapat bintik bercincin pada permukaan kulit buah. Buah akan menjadi cacat dan mengecil. Apabila di belah akan kelihatan warna isi buah pucat dan kurang manis. Serangan juga berlaku pada bahagian batang.


B) Penyakit Mati Rosot Pada Betik
Penyakit Mati Rosot Betik (Papaya Dieback - PDB) merupakan sejenis penyakit betik yang sangat serius di Malaysia kerana ianya mampu memusnahkan industri tanaman betik. Penyakit mati rosot adalah penyakit yang digazetkan sebagai berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

Ia mula dikesan di Batu Pahat, Johor pada tahun 2003 dan kemudian merebak ke kawasan penanaman betik di negeri-negeri seperti Perak, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang. Penyakit ini boleh memusnahkan 100% keluasan tanaman betik dan telah diisytihar sebagai penyakit berbahaya di bawah Akta Kuarantin tumbuhan 1976. Penyakit Mati Rosot Betik (Papaya Dieback) telah menjejaskan industri tanaman tersebut dan menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama betik di dunia.
 
 

Penyakit ini disebabkan oleh sejenis agen perosak iaitu Ervinia papayae iaitu sejenis bakteria yang menyerang pada seluruh bahagian tumbuhan seperti bahagian pucuk, daun, tangkai daun, buah dan batang. Tanda serangan mudah dilihat dimana bahagian yang diserang seakan busuk, nekrosis dan akhirnya mereput. Bahagian Daun yang diserang akan menjadi kehitaman dan akhirnya mati dan gugur ketanah. Begitu juga dengan buah yang dserang akan menjadi lembut, busuk akhirnya gugur 

Penyakiti ini merupakan satu ancaman teruk kepada pokok betik dimana ianya melumpuhkan industri tanaman betik di negara kita. Belum ada kaedah berkesan untuk mengawal penyakit ini kerana ianya boleh merebak melalui tanah, air, pengangkutan, peralatan pertanian dan semua perkara yang mampu menyebarkan bakteria ini. Kaedah yang boleh dijalankan dengan membuat pemencilan tanaman, memusnahkan tanaman yang telah diserang, menanam dikawasan bebas penyakit ini, menggunakan biji benih atau anak benih yang bebas dari Papaya Dieback dan menggunakan vereti yang tahan serangan.

Mengikut Seksyen 11, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976, petani yang enggan memusnahkan tanaman betik yang diserang oleh penyakit mati rosot dianggap melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000

C) Antraknos Pada Betik
Penyakit Antraknos betik pula disebabkan oleh kulat jenis Collectotricum gloeoporiodes yang mana bahagian buah diserang akan kelihatan bintik-bintik nekrotik berbentuk bulat kecil yang tenggelam pada permukaan kulit buah. Bintik-bintik ini akan membesar dengan cepat apabila buah betik mulai masak. Kesannya buah akan cacat dan tidak cantik untuk dipasarkan sehingga menjenaskan harga jualan. Serangan teruk menyebabkan buah tidak boleh dijual langsung.


Pemeriksaan bagi setiap kemasukan atau pengimportan barangan pertanian yang masuk ke dalam negara akan di pantau oleh pihak MAQIS di setiap pintu-pintu masuk Negara bagi melindungi industri pertanian negara dari sebarang serangan makluk perosak dan penyakit.
 
Pengimportan Di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976
dan Peraturan-Peraturan Kuarantin 1981
Kemasukan semua semua spesies Betik ( Carica papaya) memerlukan Permit Import , Sijil fitosanitasi dan PEQ (Kuarantin Lepas Masuk) - Pengimportan secara komersil hanya dalam bentuk tisu kultur tertakluk kepada pemeriksaan kuarantin terhadap makmal tisu kultur dan induk di Negara pengeksport

1 comment:

  1. pokok betik saya yang sedang berbuah daunnya dan pucuk baharu menjadi putih...macamana nak merawatnya tuan?

    ReplyDelete